PULAU PINANG 19 Feb. – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan alat pengecas bateri tambahan atau power bank yang diimport dari China tidak berkualiti dan menipu pengguna.
Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, kajian pihaknya yang membeli beberapa alat pengecas itu mendapati bahagian dalam peranti tersebut diisi pasir untuk menambah berat seterusnya menunjukkan seolah-olah produk berkenaan berkualiti.
Menurut beliau, penipuan itu sekali gus mencetus kebimbangan kerana boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna dan tidak selamat digunakan.
“CAP telah membeli beberapa unit power bank berkenaan dan selepas mengujinya, didapati kehilangan kuasa mengecas adalah lebih cepat berbanding saiz dan beratnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, S. M. Mohamed berkata, pada perkiraan pengguna produk itu sekiranya lebih berat sepatutnya mampu mengecas dengan lama namun keadaan sebaliknya berlaku
Tambah beliau, selain dari China, terdapat produk itu yang turut diimport dari negara lain dan tidak dilabel menggunakan bahasa kebangsaan.
“CAP bimbang sekiranya tidak dikawal, penipuan ini akan menjejaskan produk lain seumpamanya dan kerajaan boleh bertindak mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya.
Sumber Artikel Asal : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/cap-dedah-power-bank-dari-china-diisi-pasir-1.192305